Papar: Sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabandil, di sini, rosak akibat kejadian tanah runtuh, pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana sekolah tidak berpenghuni berikutan cuti hujung minggu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan bencana tanah runtuh jam 9.36 pagi.
Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati kejadian bencana tanah runtuh telah mengakibatkan kerosakan dinding sebuah bilik darjah di SK Sabandil.
“Tindakan pasukan bomba memindahkan meja dan kerusi di bilik darjah ke tempat selamat serta memasang sawar-sawar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan seterusnya dilakukan bagi memastikan tidak ada bahaya di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa terbabit dilaporkan dan operasi ditamatkan pada 10.15 pagi tadi,” katanya.
-Deasoka