Peranan ibu bapa elak remaja terjebak masalah sosial

Peranan ibu bapa elak remaja terjebak masalah sosial

Ranau: Peranan ibu bapa penting dalam membentuk sahsiah jati diri anak-anak dalam usaha mengelak remaja terjebak dengan masalah gejala sosial.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ibu bapa merupakan faktor pelindung kepada keluarga daripada risiko masalah sosial ketika ini.

Katanya, walaupun sibuk dengan kerjaya atau urusan seharian, anak-anak perlu menjadi keutamaan.

“Sentiasa berkomunikasi dengan ahli keluarga kerana ini akan menunjukkan kepedulian kita dan menguatkan lagi ikatan antara ahli keluarga.

“Komunikasi yang baik membawa kepada keharmonian keluarga. Saya percaya semua keluarga mempunyai resepi kebahagiaan keluarga mereka tersendiri.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan mengekalkan kebahagiaan dalam rumah kita sendiri kerana pencegahan bermula dari rumah,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Amisah Yassin.

Beliau membacakan teks ucapan itu sempena perasmian Program Seminar Keluarga ‘Keluargaku Syurgaku’ di Dewan Masyarakat Ranau, semalam.

Menurutnya lagi, perlunya ada jalinan erat antara pelbagai agensi berkaitan dan ini membuktikan bahawa agensi serta komuniti bersama-sama dalam menjayakan matlamat kerajaan dalam mencapai komuniti bebas dadah.

“Komuniti memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan sosial dan komuniti yang merangkumi segmen-segmen penting dalam melahirkan keluarga bebas dadah.

“Ini seterusnya membawa kepada keharmonian keluarga dalam mewujudkan keluarga sebagai faktor pelindung kepada anak-anak,” katanya.

Tambahnya lagi, usaha Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah menganjurkan program ini adalah untuk meningkatkan penglibatan komuniti di semua peringkat secara menyeluruh dan mengutamakan perspektif keluarga dalam apa juga tindakan yang diambil.

“Selain itu ia bertujuan meningkatkan kesedaran setiap ahli keluarga dalam komuniti supaya kembali memberi keutamaan kepada keluarga dalam setiap perancangan dan tindakan kehidupan seharian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|