Usaha tangani kebakaran, tanggungjawab bersama

Usaha tangani kebakaran, tanggungjawab bersama

Kudat: Usaha mengurangkan insiden kebakaran tidak terletak di atas bahu kerajaan semata-mata. Ianya wajar dipikul bersama termasuk pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat itu sendiri.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan berkata, pihaknya sentiasa melakukan pelbagai program dan usaha konsisten ke arah memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya musibah kebakaran.

Farhan menyampaikan sumbangan JBPM kepada kakitangan premis perniagaan sebagai salah satu usaha mendekatkan peranan masyarakat dalam usaha mencegah kebakaran.

Katanya, peranan masyarakat sangat penting dan mereka perlu lebih berhati-hati serta mengutamakan keselamatan setiap kali mengendalikan aktiviti berkaitan penggunaan membabitkan bahan api terutamanya ketika berada di rumah dan bangunan.

“Sebagai contoh, hari ini kita melancarkan program ini melalui konsep “smart pertnership” bersama kakitangan premis yang ada di sekitar ini sebagai satu program pencetus kepada usaha yang hampir sama di peringkat zon dan daerah selepas ini.

Farhan ketika merasmikan Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Sambutan Tahun Baru Cina.

“Mesej utama yang kita sampaikan ialah kita mahu meyakinkan orang awam bahawa usaha mencegah kebakaran memerlukan kerjasama pelbagai pihak terutamanya masyarakat itu sendiri,” katanya sempena Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Sambutan Tahun Baru Cina, di sini, semalam.

Farhan berkata, saban tahun, berita utama di akhbar, televisyen dan radio tidak lekang dari memaparkar berita mengenai insiden kebakaran.

Katanya, apa yang lebih menyedihkan apabila ada mangsa yang terkorban melibatkan keluarga, saudara mara, rakan-rakan atau jiran tetangga kita.

“Pada musim perayaan misalnya, kepulangan warga kota terutamanya ke kampung halaman yang sepatutnya disambut meriah oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat-handai bertukar menjadi satu tragedi.

“Oleh itu adalah wajar kempen kesedaran keselamatan kebakaran seperti ini dilancarkan di peringkat ini dan terus dipergiatkan di peringkat zon dan balai supya kita semua berperanan untuk mengurangkan insiden kebakaran pada tahun ini.

“Tahun ini kita mengketengahkan slogan ‘Kebakaran mengundang tangisan dan airmata’ dengan harapan masyarakat mengingati kesedihan serta keperitan menanti bagi tragedi kebakaran yang berlaku,” katanya.

Farhan berkata, hakikatnya, tiada siapa pun yang ingin terbabit dalam musibah yang membawa kesedihan dan kesusahan.

Maka katanya, JBPM optimis dalam mendidik masyarakat mengenai kesedaran dan pengetahuan pencegahan kebakaran melalui pendedahan masyarakat kepada kesan dan akibat tragedi kebakaran.

“Ke arah usaha itu, JBPM turut mempertingkat komitmen untuk meneruskan tugasan utama atau ‘core business’ dan inisiatif berkaitan dalam mempastikan keselamatan masyarakat sentiasa dipantau.

“Sebagai langkah yang proaktif dalam usaha menghadapi dan menangani sebarang tragedi yang berlaku semasa musim perayaan ini, satu tindakan pengawalan dan pemantauan perlu dilaksanakan untuk memberi khidmat operasi menyelamat dengan cepat, pantas dan berkesan.

“Ini bersesuaian dengan peranan JBPM sebagai sebuah agensi penyelamat utama negara dalam menjalankan pemeriksaan, pencegahan dan penghapusan bahaya kebakaran di semua kompleks perniagaan,” katanya.

Jelas beliau lagi, pihak pengurusan kompleks sepatutnya memastikan semua laluan keselamatan kebakaran tidak dihalang oleh sebarang objek.

Katanya, notis atau denda boleh dikeluarkan jika terdapat sebarang halangan yang dibuat oleh peniaga terhadap mana-mana laluan tangga keselamatan dan pintu rintangan api yang boleh menjejaskan kemudahan untuk melepaskan diri sekiranya berlaku kebakaran.

“Atas kesempatan ini, JBPM menyedari, kerjasama semua pihak dalam menjayakan pelancaran kempen ini termasuklah agensi swasta dan pihak NGO serta rakan-rakan media yang sentiasa bersama-sama kita dalam menjayakan kempen keselamatan ini di sepanjang musim perayaan.

“Sesungguhnya pihak media telah banyak memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat serta memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|