Pembangunan negeri perlu seiring usaha pelihara warisan budaya etnik

Pembangunan negeri perlu seiring usaha pelihara warisan budaya etnik

Kota Kinabalu: Usaha memelihara identiti dan warisan budaya bangsa perlu digerakkan seiring dengan pembangunan negeri agar dapat diwarisi generasi baharu.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah (PRBSS), Datuk Japlin Akim, berkata tumpuan ke arah membangunkan negeri tidak seharusnya menyebabkan kepentingan adat dan budaya setiap etnik terabai.

Katanya, ia kerana budaya adalah aspek penting dalam kehidupan masyarakat yang melambangkan identiti sesuatu bangsa, suku kaum dan etnik.

“Sehubungan itu, ia perlu terus dipelihara dan dimartabatkan demi kepentingan kita dan generasi akan datang.

“Perjuangan mempertahankan identiti kita harus diteruskan demi keperluan generasi akan datang.

“Kita harus memelihara semua ini untuk generasi akan datang dan generasi muda juga perlu mempertahankan keunikan budaya yang ada sebagai teras kepada keharmonian kaum sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat PRBSS cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi PRBSS Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Shamsuddin Awang Aman; Timbalannya, Masri Mansor; Naib Pengerusi, Mohd Syum Majid; Setiausaha, Awang Ali; Bendahari, Johan Walit dan Ketua Penerangan, Madsa Awang Aman.

Japlin juga berharap supaya PRBSS dapat terus memelihara dan memartabatkan budaya suku Bajau Samah serta mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian sesama masyarakat.

“Menerusi perpaduan dan kesatuan rakyat yang berbilang suku kaum dan etnik, kita akan dapat memacu transformasi pembangunan negeri ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Shamsuddin berkata PRBSS Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu ditubuh pada 2017 dengan misi untuk menaikkan martabat suku Bajau Samah di Sabah, sekali gus berjaya dalam perniagaan di samping mengekalkan budaya tradisi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|