Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan untuk membina pelabuhan baharu di Kudat bagi merancakkan ekonomi setempat dan melonjakkan hasil pendapatan negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perancangan itu tetap diteruskan setelah sekian lama tertangguh.

Katanya, keputusan untuk meneruskan cadangan membina pelabuhan baharu fi daerah itu mengambil kira potenasi dan kedudukannya yang strategik.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri berhubung perkara ini dan kita mengambil keputusan meneruskan rancangan ini.

“Kita juga berharap kerajaan Pusat bukan sahaja bersetuju, malah dapat menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Anugreh Perkhidmatan Cemerlang 2021 Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah (LPPS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata beliau optimis perancangan itu dapat merangsang pembangunan setempat, termasuk Matunggung, Kota Marudu dan Pitas yang masih kekurangan kemudahan infrastruktur.
Katanya, jika perancangan itu dapat direalisasikan, beliau yakin kawasan di utara Sabah akan lebih pesat membangun.
“Langkah meneruskan rancangan itu juga bersesuaian kerana apabila projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya nanti, ia akan memudahkan lagi perhubungan dan pengangkutan barangan di antara Kudat dan bandar lain, khususnya Kota Kinabalu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pembinaan pelabuhan baharu di Kudat adalah satu perancangan pembangunan inklusif yang mana kerajaan juga akan membina bandar baharu selain mewujudkan zon perdagangan khas.
Katanya, ia akan dapat membantu bukan hanya ekonomi Sabah tetapi juga membangunkan kawasan persekitaran Kudat.
Sementara itu, Bung Moktar berharap kakitangan LPPS yang menerima anugreh perkhidmatan cemerlang mengekalkan perkhidmatan cemerlang mereka selain dijadikan ikutan kaki tangan lain untuk mencapai tahap kecermalangan yang sama.
“Saya berharap bukan sahaja penerima anugerah perkhidmatan cemerlang malah seluruh kakitangan LPPS akan terus memberikan komitmen yang tinggi memikul tugas dan amanah yang diberikan dengan melihat perubahan semasa ketika melaksanakan tugas.
“Kita perlu memandang ke hadapan bukan ke belakang bagi meletakan fungsi dan peranan LPPS di tempat yang sewajarnya “ tambah Bung.
-Deasoka