Perkukuh WARISAN dulu – Shafie

Perkukuh WARISAN dulu – Shafie

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu parti itu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum bekerjasama dengan parti lain.

Jelasnya, sebelum ini beliau sudah bekerjasama dengan pelbagai parti sejak berada di dalam UMNO sehingga WARISAN.

“Kita sudah bergabung dengan semua pihak, saya sudah bergabung dengan UMNO, lepas gabung dengan UMNO, saya kerjasama dengan Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam UMNO, dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bantu dia ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO, bergabung dengan Najib (Datuk Seri Najib Razak), bergabung dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Lepas gabung dengan UMNO, apa jadi keadaan negara kita, dalam keadaan tidak begitu baik. Lepas itu keluar dari UMNO, bergabung pula balik dengan Mahathir, dengan Pakatan Harapan (PH), dengan Anwar lagi pula, dengan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

“Jadi saya sudah mengalami semua dalam gabungan, jadi saya ingat apa yang penting kita WARISAN perkuatkan dulu rumah kita dan kita sediakan pilihan kepada rakyat Malaysia. Jadi kita belum memutuskan untuk langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ‘walkabout’ sempena Tahun Baharu Cina, di Pasar Pekan Inanam, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung hasrat Anwar sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi PRN Johor.

Mohd Shafie, berkata pihaknya juga akan meneliti dan berbincang dengan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melihat keadaan dan hala tuju mengenainya.

“Kita akan lihat dari segi keadaan, kita telah minta jentera di peringkat negeri Johor teliti secara mendalam sebelum kita membuat sesuatu pengumuman tentang keadaan yang ada di peringkat negeri Johor.

“Kita akan teliti di mana kawasan dan saya akan bincang dengan rakan saya MUDA untuk melihat keadaan ini, hala tuju kita sebab dia (Syed Saddiq) datang dari Johor. Saya tidak boleh ambil ringan dengan Saddiq dan dia juga merupakan sebuah parti pimpinan atasnya dari Johor,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|