SPRM tahan bekas pengurus kanan GLC

SPRM tahan bekas pengurus kanan GLC

Kota Kinabalu: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes suapan yang dianggarkan bernilai RM170,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 51 tahun terbabit ditahan kira-kira jam 9.30 pagi, hari ini, di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek difahamkan menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan pengubahsuaian rumah miliknya daripada seorang kontraktor.

“Ia sebagai balasan bagi melancarkan segala tuntutan bayaran bagi kerja yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, dalam masa terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|