Covid-19 Sabah: Lebih banyak kluster institusi pendidikan dijangka muncul di Sabah

Covid-19 Sabah: Lebih banyak kluster institusi pendidikan dijangka muncul di Sabah

Kota Kinabalu: Lebih banyak kluster Covid-19 yang membabitkan jangkitan dalam institusi pendidikan, khususnya sekolah di Sabah dijangka muncul dalam beberapa hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia berdasarkan laporan awal Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang sedang melakukan saringan kontak rapat di enam sekolah atau institusi pendidikan di negeri ini.

Katanya, saringan itu dilaksanakan dalam kalangan penghuni asrama sekolah terbabit dan didapati ada kemungkinan beberapa lagi kluster bakal muncul.

“Keputusan dan kesimpulan muktamad akan diketahui dalam satu atau dua hari akan datang,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Beliau berkata, hari ini saja satu lagi kluster baharu institusi pendidikan dilaporkan iaitu Kluster Jalan Teritipan, Kota Marudu yang setakat ini mencatat kumulatif sebanyak 44 kes.

Katanya, kluster itu juga menjadi antara penyumbang utama kes di Sabah hari ini dengan sebanyak 38 kes baharu sekali gus meletakkan Kota Marudu sebagai daerah tertinggi kes hari ini dengan 64 kes daripada 335 kes keseluruhan di Sabah.

“Kluster tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, disahkan positif melalui saringan PCR pada 23 Januari lalu.

“Saringan dalam kalangan kontak rapat kemudian mendapati 37 orang lagi dijangkiti. Semua mereka bagaimanapun hanya bergejala ringan iaitu berada dalam Kategori 1 dan 2,” katanya.

Selain kluster berkenaan, katanya dua lagi kluster baharu berkaitan tempat kerja turut dilaporkan di Sabah hari ini dengan satu daripadanya iaitu Kluster Montenior, Beaufort dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Masidi berkata, kluster berkenaan yang membabitkan kes indeks seorang petugas kesihatan wanita berumur 37 tahun, sudah merebak kepada tiga generasi di dua daerah iaitu Beaufort dan Kuala Penyu.

“Kes indeks itu disahkan positif pada 12 Januari dan saringan yang dibuat seterusnya dalam kalangan kontak rapat mendapati 24 orang daripada kontak generasi pertama, 17 orang daripada kontak generasi kedua dan dua orang kontak generasi ketiga juga dijangkiti.

“Mereka terdiri daripada rakan sekerja kes indeks dan ahli keluarga kakitangan kesihatan. Semua yang terbabit sudah dikuarantin untuk menjalani rawatan,” katanya.

Satu lagi kluster berkaitan tempat kerja katanya ialah Kluster Jalan Binunuk, Beaufort yang membabitkan kes indeks seorang kakitangan RISDA Beaufort iaitu wanita berumur 34 tahun yang disahkan positif pada 22 Januari lalu.

Masidi berkata, saringan ke atas kontak rapat dalam kalangan rakan sekerja dan ahli keluarga kes indeks mendapati 13 orang lagi dijangkiti virus COVID-19.

“Jangkitan dipercayai berpunca daripada mesyuarat yang melibatkan jumlah yang ramai dalam satu fasiliti yang sama,” katanya.

Secara keseluruhan, kes harian Covid-19 di Sabah meningkat 21 kes kepada 335 kes hari ini berbanding 314 kes semalam.

Selain Kota Marudu yang mencatat kes tertinggi hari ini, sebanyak 10 daerah lain turut mencatat kes baharu dua angka, antaranya Penampang (41 kes), Tuaran (40 kes), Kota Kinabalu (40 kes), Sandakan (34) dan Ranau (22 kes).

Daripada 335 kes baharu hari ini, katanya sebanyak 330 kes berada dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3 dan masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 26 Januari 2022
Sabah 335 (314)

Kota Marudu 64 (15)
Penampang 41 (16)
Tuaran 40 (34)
Kota Kinabalu 40 (61)
Sandakan 34 (68)
Ranau 22 (7)
Papar 15 (15)
Beaufort 14 (39)
Keningau 13 (3)
Tawau 13 (16)
Kota Belud 12 (5)
Putatan 8 (7)
Beluran 6 (2)
Kuala Penyu 3 (0)
Tenom 3 (2)
Lahad Datu 2 (11)
Kinabatangan 2 (2)
Telupid 1 (1)
Kunak 1 (3)
Pitas 1 (2)
Semporna 0 (0)
Tambunan 0 (2)
Nabawan 0 (0)
Sipitang 0 (1)
Tongod 0 (1)
Kalabakan 0 (0)
Kudat 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 25 Januari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Jalan Teritipan,
    Kota Marudu 44 (+38)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Jalan Binunuk,
    Beaufort- Papar 14(+3)
    (Kluster Tempat Kerja)
  3. Kluster Montenior,
    Beaufort- Kuala Penyu
    43(+4)
    (Kluster Berisiko Tinggi)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|