JHEAINS kerjasama dengan Universiti Al-Azhar sedia bahan rujukan di Perpustakaan Islam Sabah

JHEAINS kerjasama dengan Universiti Al-Azhar sedia bahan rujukan di Perpustakaan Islam Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bekerjasama dengan Universiti Al-Azhar, Mesir untuk mendapatkan salinan tesis sebagai bahan rujukan di Perpustakaan Islam Sabah yang dijangka dibuka tidak lama lagi.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ketika ini sebahagian besar bahan bacaan berunsurkan keilmuan Islam sudah ada dan sedia untuk diletakkan di perpustakaan berkenaan.

Mohd Arifin ketika menyampaikan amanat di SICC, Kota Kinabalu.

“Bahannya sudah ada, tinggal beberapa perkara kita perlu ubah termasuk membuat galeri kaligrafi untuk mengumpulkan hasil tulisan seni khat atau hasil karya terbaik peringkat ASEAN untuk dipamerkan.

“Di bahagian atas pula kita jadikan perpustakaan yang mengumpul buku berhubung dengan keilmuan untuk dijadikan rujukan dan buku itu akan diperoleh daripada ulama-ulama terkenal selain sedang berusaha dengan Universiti Al-Azhar yang terkenal untuk mendapatkan tesis doktor falsafah (PhD) untuk kita kumpulkan di sini sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Tugas-Tugas Khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Diminta mengulas lanjut bila perpustakaan itu akan beroperasi sepenuhnya, beliau memaklumkan ia akan dibuka kepada umum pada April depan.

“Insya-ALLAH, kita akan selesaikan pelancarannya tahun ini kerana bahannya sudah ada kecuali dari luar negara.

“Dijangka pada bulan Ramadan kita akan buka,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung perkembangan Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, beliau berharap proses perpindahan akan selesai dalam tempoh dua bulan ini.

“Mahkamah itu sudah siap dan mereka perlahan-lahan sudah memindahkan barang-barang ke sana.

“Saya harap dalam sebulan dua ini akan beroperasi di sana,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|