Cubaan seludup minyak petrol bersubsidi dipatahkan

Cubaan seludup minyak petrol bersubsidi dipatahkan

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi, Kampung Kuala Bibang, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 11 malam itu, kegiatan penyeludupan berkenaan berjaya dikesan hasil pemantauan yang dilakukan pasukan operasi PPM di kawasan pinggir bakau berhampiran kampung berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya menemui beberapa tong berisi petrol.

Katanya, kawasan berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan minyak petrol sebelum diseludup ke negara jiran, Filipina.

“Pasukan operasi menemui beberapa tong berisi minyak petrol mengandungi 25 liter setiap satu.

“Semua minyak petrol berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan kali ini dianggarkan bernilai RM2,350 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|