Penunggang maut, pembonceng cedera motosikal bertembung kereta

Penunggang maut, pembonceng cedera motosikal bertembung kereta

Beluran: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera ringan selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 4, Jalan Telupid-Ranau, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Shafiq Mohd Jaip, 27, disahkan maut ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Telupid.

Mangsa yang parah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Telupid untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pix Ihsan IPD Beluran

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa bergerak dari arah Ranau menuju ke Kinabatangan.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Bezza berkenaan dipercayai tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

“Kereta berkenaan terus merempuh motosikal sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa terhumban longkang di tepi jalan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah dan terus dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kasim berkata, ketika kejadian, cuaca berada dalam keadaan baik dan kemalangan juga berlaku di jalan yang lurus.

“Pemandu kereta Perodua Bezza sudah ditahan di Balai Polis Telupid untuk membantu siasatan.

“Penunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala pemboncengnya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Kasim berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beluran untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|