Usaha kembalikan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak hormati semangat pembentukan Malaysia

Usaha kembalikan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak hormati semangat pembentukan Malaysia

Kota Kinabalu: Keputusan kerajaan Pusat yang bersetuju untuk meningkatkan lagi representasi wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak menerusi pertambahan kuota kerusi Parlimen dilihat sebagai menghormati semangat pembentukan Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ia sekali gus mengembalikan proses semak dan imbang dalam pentabdiran negara.

“Seperti mana kita tahu dulu Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk membentuk Malaysia bersama dengan Tanah Melayu dengan satu syarat bahawa ahli-ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Singapura mesti lebih kurang satu pertiga supaya Tanah Melayu tidak boleh mengubah Perlembagaan Malaysia itu tanpa perlu konsultasi daripada Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Apabila Singapura telah keluar dari Malaysia, jumlah Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak itu tidak lagi sampai satu pertiga dan semalam keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu berita yang cukup baik untuk rakyat Sabah untuk kita kembalikan proses semak dan imbang, kesimbangan politik dan pentadbiran dalam negara kita,” katanya selepas majlis Perasmian Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) di UMS, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita berhubung usaha untuk mengembalikan semula 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu turut menyifatkan keputusan itu sebagai perkara yang besar untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita akan ada kerusi yang cukup untuk menjadi rakan kongsi yang bermakna dalam pembentukan Malaysia.

“Sudah tentu timbal balasnya kita kena lahirkan Ahli-Ahli Parlimen yang mempunyai kualiti supaya dari Sabah dan Sarawak ini dapat menilai, membuat kajian dan berbahas dengan baik, supaya satu pertiga dari Sabah dan Sarawak ini juga boleh membantu rakan-rakan di Semenanjung untuk membentuk negara Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, dalam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memaklumkan tuntutan mengembalikan semula 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak antara isu yang dibincangkan dalam MKMA63 bersama Perdana Menteri yang diadakan di Putrajaya semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|