Sandakan: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya ketika menyeberangi sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, malam tadi.
Ketika kejadian, mangsa berusia 50 tahun dikatakan cuba untuk menyeberang dengan menggunakan rakit di sungai berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 8.57 malam.
Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut saksi, mangsa yang cuba untuk menyeberang sungai menggunakan rakit telah disambar buaya.
“Operasi SAR dijalankan disepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun mangsa belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR ditangguh pada 10.28 malam dan disambung semula pada esok pagi.
“Operasi SAR akan disambung semula pada jam 6 pagi esok. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka