Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) sudah lama bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan yakin bakal menjadi parti yang dominan selepas pilihan raya itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau yakin terhadap perkara itu meskipun ramai yang mengatakan tidak akan ada satu gabunganpun yang akan membentuk kerajaan.
“BN juga kini sudah kehilangan Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak dan kita juga sudah tidak ada Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai parti komponen.
“Tetapi saya boleh pastikan, InsyaAllah BN akan menjadi parti tunggal yang terbesar di Parlimen nanti. Jadi kalau blok terbesar tunggal besar kemungkinan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada media semalam.
Beliau berkata demikian ketika memberi pandangan jika BN mampu menjadi parti dominan pada PRU-15 berikutan trend semasa BN yang banyak memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu menegaskan pilihan raya harus dilaksanakan supaya rakyat dapat memilih kerajaan baharu selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 dan kejatuhan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Keputusan rasmi BN pada ketika itu adalah untuk memanggil pilihan raya tetapi negara berhadapan dengan Covid-19. Kita juga mempunyai pendirian yang sama bahawa pilihan raya adalah penyelesaian terakhir ketika jatuhnya Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Saya berpandangan, kerajaan dan negara ini tidak boleh diputuskan oleh orang-orang politik dan permainan Ahli Parlimen, ia mesti dikembalikan kepada rakyat untuk diberi mandat dan biarlah mereka yang membuat keputusan siapa yang patut mereka lantik atau pilih menjadi kerajaan di Putrajaya,” katanya.
-Deasoka