Hari Malaysia bakal disambut meriah di Padang Merdeka

Hari Malaysia bakal disambut meriah di Padang Merdeka

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat negeri Sabah yang akan berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September ini, menjadi detik yang paling dinanti seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’, sambutan tahun ini juga tidak kurang meriahnya dengan pelbagai persembahan dan acara menarik seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Bung Moktar (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pelaksana sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, menanti tarikh keramat 16 September ini, segala persiapan kini telah sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran serta kemeriahan sambutan pada tahun ini.

Bung yang juga Pengerusi Jawatankuasa pelaksana sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah, berkata pemilihan tema kali ini menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara dan menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut beliau Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norlida RM Jasni dijadualkan berangkat sebagai tetamu utama pada majlis yang bakal bermula jam 7 malam itu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Isteri serta barisan jemaah Kabinet negeri Sabah.

Memperincikan pengisian acara untuk sambutan kali ini, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, bagi menyemarakkan semangat patriotisme, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung sepanjang bulan kemerdekaan akan berakhir pada malam 16 September di mana Ketua Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada TYT.

“Pelbagai program serta pertandingan lain turut diadakan sempana sambutan tahun ini dengan harapan ianya dapat memupuk serta menyemai semangat patrotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Antaranya Seminar Identiti Etnik Sabah Keluarga Merdeka, Pertandingan E-Culture Gamming Tik Tok Hari Malaysia Challenge, Program Info On Wheel Berjalan Teguh Bersama dan Pameran Kemerdekaan,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar berkata antara program lain yang diadakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ialah mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa munajat Peringkat Negeri Sabah dan Khutbah Khas Solat Jumaat di seluruh masjid di negeri ini.

Bagi malam kemuncak sambutan pula, katanya antara acara yang bakal diadakan ialah persembahan khas dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang akan menampilkan persembahan unik dan menarik bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama selain persembahan hiburan artis tempatan.

Selain itu, beliau berkata penyampaian Sijil Khas Penghargaan kepada atlet-atlet termasuk empat atlet yang memenangi pingat emas dalam sukan Pencak Silat Juara Dunia dan seorang atlet Juara Remaja Dunia dalam sukan Muaythai.

Sehubungan itu Bung Moktar mengajak orang ramai khususnya yang tinggal di Kota Kinabalu dan sekitarnya hadir beramai-ramai untuk memeriahkan sambutan kali ini dan menzahirkan rasa kasih sayang serta semangat patriotik kepada negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|