Lima calon Naib Canselor baharu UMS

Lima calon Naib Canselor baharu UMS

Kota Kinabalu: Proses pemilihan Naib Canselor baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dilaksanakan dan dijangka diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi setelah calon yang sesuai dikenal pasti.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, setakat ini seramai lima calon yang terdiri daripada anak jati Sabah sedang dinilai untuk pelantikan bagi jawatan berkenaan.

“Seperti mana yang kita tahu Naib Canselor yang dulu telah tamat kontrak dan proses pemilihan Naib Canselor baharu untuk UMS telah dijalankan di mana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membentuk satu jawatankuasa pemilih.

“Pihak universiti diketuai oleh saya sebagai Pengerusi UMS bersama dengan wakil daripada senat UMS telahpun diberikan peluang untuk memberi pandangan dan hala tuju UMS.

“Kita ada lima calon yang telah memohon dan kelima-lima calon itu adalah datang dari Sabah, orang Sabah tetapi ada juga yang bertugas di universiti lain,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Klinik Bergerak Hospital UMS (HUMS) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada lima calon berkenaan, empat daripadanya bertugas di UMS manakala seorang lagi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kita telah berikan pandangan, sudah tentu jawatankuasa pemilih akan memaklumkan kepada menteri siapa yang disyorkan mereka dan akhirnya nanti keputusan akan dibuat oleh menteri sendiri.

“Buat masa ini belum ada keputusan yang dibuat mungkin kerana kita sedang sibuk dengan hal lain dalam kementerian tetapi saya rasa keputusan itu terletak di tangan menteri dan kita berikan sedikit masa untuk beliau menilai mana satu calon yang terbaik untuk UMS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|