HUMS terima RM3 juta wujudkan klinik bergerak

HUMS terima RM3 juta wujudkan klinik bergerak

Kota Kinabalu: Sebanyak RM3 juta peruntukan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diberikan khas untuk pelaksanaan klinik bergerak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS).

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, peruntukan itu bagi pemerolehan enam kenderaan yang dibeli untuk digunakan sebagai klinik bergerak.

“Salah satunya adalah klinik bergerak yang dirasmikan pada hari ini dengan kos pembelian sebanyak RM468,000 manakala kenderaan lain sedang dalam proses perolehan iaitu sebuah ambulans, dua unit van, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas Coaster,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian klinik bergerak HUMS, di sini, semalam.

Katanya lagi, ia selaras dengan pendekatan KPT untuk membawa terus perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar di negera ini khususnya di Sabah menerusi penganjuran program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera atau KRIS.

“Program ini telah diperkenalkan dan mula dilaksanakan melalui hospital-hospital pengajar sejak tahun 2020. Ini merupakan bukti komitmen agensi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan secara terus kepada masyarakat.

“Melalui Program KRIS, Hospital UMS telah menyediakan perkhidmatan kesihatan seperti rawatan bandar Sabah yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan kerajaan seperti klinik kesihatan dan hospital,” katanya.

Katanya lagi, HUMS telah melaksanakan program KRIS bermula pada 31 Julai 2021 sehingga kini dan telah berjaya melaksanakan sebanyak 12 kali Program KRIS yang melibatkan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Antara daerah yang terlibat adalah Tuaran, Kiulu, Kudat, Pitas, Kota Marudu, Labuan, Tawau dan Keningau. Pihak HUMS akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan melalui program KRIS ini ke setiap daerah sehingga hujung tahun ini.

“Dengan adanya klinik bergerak ini, saya yakin pihak HUMS akan terus menawarkan perkhidmatan kesihatan yang selesa dan berkualiti melalui program KRIS kepada penduduk luar bandar di negeri ini dan secara tidak langsung kualiti kesihatan masyarakat di Sabah sedikit sebanyak akan meningkat menjadi lebih baik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|