Maritim Malaysia rampas minuman keras seludup

Maritim Malaysia rampas minuman keras seludup

Labuan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar minuman keras dalam operasi di perairan Menumbok, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 7.45 pagi itu, dua lelaki berusia 35 dan 37 tahun yang turut berjaya ditahan bersama 70 kotak minuman keras.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, hasil siasatan awal, penyeludupan berkenaan dilakukan dengan berselindung menggunakan bot penumpang.

Katanya, sebaik dikesan dalam keadaan yang mencurigakan pasukan operasi terus bertindak mengejar sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam bot berkenaan.

“Semua minuman keras itu dipercayai dibawa keluar tanpa kebenaran daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dua lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, bot dan minuman keras yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM10,322.80 itu terus dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sehubungan itu, Nudin berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|