UPKO kemuka lima tuntutan untuk dimasukkan dalam Bajet 2023

UPKO kemuka lima tuntutan untuk dimasukkan dalam Bajet 2023

Kota Kinabalu: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada Selasa menghantar satu memorandum kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2023.

Madius berkata, memorandum yang dihantar itu mengandungi lima tuntutan daripada UPKO untuk dimasukkan dalam pembentangan bajet berkenaan.

“UPKO mencadangkan lima perkara utama, iaitu yang pertama tuntutan hak pulangan 40 peratus hasil bersih yang dikutip oleh Persekutuan pada setiap tahun daripada Sabah.

“UPKO tetap berpegang kepada hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Artikel 112C, Seksyen 2(1) Bahagian 4, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, dan sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan pemberian khas menerusi geran tahunan yang dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak tahun 1973 kerana keputusan itu dilakukan tanpa mengambil kira hak 40 peratus.

“Susulan daripada itu, UPKO menuntut agar bayaran pulangan cukai adalah mengikut kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dimeterai dan seterusnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh persekutuan dari Sabah, hendaklah diberikan kepada kerajaan Sabah kembali seperti mana yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, dalam tuntutan kedua pula UPKO menuntut supaya Pewartaan Zon Perdagangan Bebas dibuat di setiap taman perindustrian di Sabah.

“Ini bagi merancakkan lagi pelaburan dalam sektor pembuatan, kemasukan pelaburan asing dan dalam negeri, pertukaran teknologi serta mewujudkan peluang pekerjaan selain aktiviti ekonomi Sabah perlu dimodenkan dan ditingkatkan.

“Pewartaan Zon Perdagangan Bebas itu merangkumi tiga taman industri iaitu Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP),” katanya.

Sementara itu, dalam tuntutan ketiga, Madius berkata UPKO meminta kerajaan menggunakan pendekatan ‘Grameen Bank’ sebagai salah satu kaedah membasmi kemiskinan.

“Pendekatan ini sebenarnya telah dilaksanakan oleh Malaysia dalam bentuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sudahpun beroperasi di Malaysia sejak tahun 1987 dan Yayasan Usaha Maju (YUM) di Sabah.

“AIM telah terbukti berjaya mencapai bayaran balik melebihi 98 peratus dan seterusnya berjaya mengurangkan kemiskinan terutama sekali dalam kalangan wanita untuk pembiayaan keusahawanan kecil-kecilan dengan cara menambahkan pendapatan terutamanya golongan B40, B30, B20 dan B10 dari semua daerah termiskin di Sabah.

“Untuk itu, UPKO menuntut supaya perhatian khas diberikan kepada daerah-daerah yang telah dikenal pasti sebagai daerah termiskin. AIM sudahpun beroperasi di tempat tersebut dengan mencadangkan supaya dana pinjaman yang ada sekarang ditambah dua kali ganda,” katanya.

Madius turut menambah bagi cadangan keempat, bajet tahun depan perlu memasukkan peruntukan kewangan terhadap pengambilan guru pelatih Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran.

“Difahamkan kohot kursus ini pada 2023 tidak diiklankan kerana kekangan peruntukan kewangan. Kami berpendapat pengiklanan untuk mendapatkan pelajar bagi sesi 2023 masih belum terlambat.

“Apa yang diperlukan ialah peruntukan pada kadar RM53,875 bagi seorang pelajar bagi tempoh pengajian selama lima tahun. Kami mencadangkan supaya kerajaan membiayai 20 pelajar untuk kohot 2023 dengan jumlah kos RM1,077,500 untuk mengendalikan kursus tersebut,” katanya.

Bagi perkara terakhir, Madius berkata, UPKO mencadangkan peruntukan khas diberikan bagi menaik taraf jalan luar bandar di Sabah.

“Sebagai makluman, di Sabah masih ada lebih 5,000 kilometer jalan raya di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang perlu dinaik taraf dari tidak berturap kepada berturap.

“Ini tidak termasuk pembinaan baharu yang memang diperlukan. Justeru, UPKO minta supaya kerajaan memberi keutamaan peruntukan menaik taraf jalan-jalan tersebut dalam Bajet 2023 dengan kadar RM2 juta bagi satu kilometer,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|