Lima lelaki dipenjara sehari hingga tiga hari, denda dan parol kerana memandu ketika mabuk

Lima lelaki dipenjara sehari hingga tiga hari, denda dan parol kerana memandu ketika mabuk

Tawau: Lima lelaki dipenjara sehari hingga tiga hari, selain didenda antara RM10,000 hingga RM10,200, termasuk seorang dikenakan parol selepas mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Daripada kelima-lima tertuduh, dua daripadanya iaitu Wahyu Beddu, 22 dan Hadianto Wakidi, 37 dipenjara tiga hari dan denda RM10,000, manakala seorang lagi tertuduh, Chok Chen Kwong, 43, turut dipenjara tiga hari dan denda RM10,200.

Seorang lagi tertuduh, Ng Siew Keong pula dipenjara sehari dan denda RM10,000, manakala tertuduh kelima, Lee Ming Jun, 22, dikenakan parol selama tiga bulan.

Semua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Leona Dominic Majiliu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mahkamah turut memerintahkan Wahyu, Hadianto, Siew Keong dan Chen Kwong menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wahyu didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Ogos lalu di Jalan Chong Thien Vun, di sini, manakala Hadianto melakujan kesalahan di Lorong Bintang 4 Jalan Apas pada 30 Julai lalu.

Siew Keong pula dituduh melakukan kesalahan sama di Batu 3 Jalan Apas pada 5 Jun lalu, manakala Chen Kwong dituduh melakukan kesalahan di Kubota Sentral pada 31 Ogos lalu.

Sementara itu, Ming Jun dituduh melakukan kesalahan di Lorong Bintang, Kubota pada 28 Ogos lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Leona turut memerintahkan lesen memandu semua tertuduh digantung selama dua tahun.

Wahyu juga didakwa mengikut Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu yang menyebabkan dia didenda sebanyak RM400 lagi atau tiga hari penjara sekiranya gagal membayar.

Wahyu, Chen Kwong dan Ming Jun diwakili peguan Vivian Thien, manakala Siew Keong pula diwakili peguam Wen Jye Che. Hadianto pula tidak diwakili peguam.

Pendakwaan kes Wahyu dan Chen Kwong dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nidzam Ahmad, manakala pendakwaan terhadap Hadianto, Siew Keong dan Ming Jun dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|