Cubaan 2 lelaki seludup minyak masak bersubsidi gagal

Cubaan 2 lelaki seludup minyak masak bersubsidi gagal

Semporna: Dua lelaki berputih mata apabila cubaan menyeludup sebanyak 1,700 bungkus minyak masak bersubsidi berjaya dihidu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tapak kilang kosong, Jalan Pinggir Bakau, di sini, Isnin lalu.

Kedua-dua suspek berusia 21 dan 24 tahun itu, ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang menjalankan serbuan di lokasi berkenaan, jam 10.30 malam.

Minyak masak bersubsidi yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan dijalankan selepas risikan dan maklumat daripada orang awam.

Katanya, ketika serbuan, polis mendapati dua lelaki warga tempatan berada di lokasi kejadian.

Lori yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan minyak masak berkenaan turut dirampas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya menemukan 100 kotak mengandungi 1,700 bungkus minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama di dalam sebuah stor.

“Kita mengesyaki semua minyak itu untuk diseludup ke negara jiran berdasarkan jumlahnya yang banyak,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan juga turut merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan minyak masak berkenaan.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM49,250 itu dibawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut.

“Semua barang rampasan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan di sekitar mereka kepada pihak polis atau KPDNHEP.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga dapat menggagalkan aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|