Banjir kilat landa KK dan Penampang

Banjir kilat landa KK dan Penampang

Kota Kinabalu: Hujan lebat sejak jam 3 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar pusat bandar raya dan penampang dilanda banjir kilat.

Kawasan Pekan Donggongon dinaiki air.

Antara lokasi yang terjejas adalah di Jalan Kilang Kolombong, Manggatal, Tebobon dan Jalan Bantayan Minintod.

Mengikut laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM), keadaan laluan keluar di Jalan Kolombong Lorong Kurma 3, kini tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil selepas paras air meningkat melebih 0.3 meter.

Kawasan Bulatan Sigar, Penampang terjejas banjir.

Selain itu, keadaan Jalan Bantayan Minintod juga turut terjejas selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta Perodua Axia.

Menurut laporan, terdapat empat individu berada di dalam kereta, namun semua mangsa dilaporkan selamat selepas pasukan bomba membantu memotong dan seterusnya mengalihkan pokok berkenaan.

Kereta Perodua Axia dihempap pokok tumbang di Jalan Bantayan.

Sementara itu, bagi daerah Penampang, beberapa lokasi dilaporkan terjejas banjir antaranya Jalan Dato Panglima Banting, Pekan Donggongon, Kampung Kolopis, Penampang Proper, Kampung Maang, Bulatan Sigar.

Bagaimanapun, setakat ini paras air masih berada dalam keadaan terkawal dan boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Pasukan bomba mengalihkan dahan yang menghempap kereta Perodua Axia.

Manakala di Kampung Sugud keadaan paras air dilaporkan semakin meningkat dan kini hanya boleh dilalui kenderaan besar.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pasukan APM Kota Kinabalu sudah membuat pemantauan di kawasan-kawasan ‘hotspot’ sekitar Kota Kinabalu.

“Pemantauan dijalankan di sekitar kawasan Kolombong, Manggatal, Jalan Tuaran, Likas Industrial dan beberapa kawasan lain.

“Pasukan APM Kota Kinabalu kini giat membuat pemantauan ekoran cuaca yang masih hujan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|