Cubaan 5 lelaki Filipina, seludup petrol gagal

Cubaan 5 lelaki Filipina, seludup petrol gagal

Semporna: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan lima lelaki warga Filipina menyeludup keluar minyak petrol di perairan Pulau Omadal, di sini, Selasa lalu.

Suspek yang menggunakan dua bot pancung dikesan mencurigakan oleh pasukan Quick Reaction Force (QRF) ketika membuat rondaan kira-kira jam 9 malam.

Lima lelaki warga Filipina ditahan kerana melakukan aktiviti penyeludupan minyak petrol di perairan Pulau Omadal, Semporna.

Susulan itu, pasukan QRF memintas dan menahan kedua-dua bot berkenaan dari arah Tenggara Pulau Omadal menuju ke arah luar sempadan perairan Sabah.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil pemeriksaan awal ke atas kedua bot berkenaan terdapat lima awak-awak lelaki iaitu tiga orang bot pertama dan dua orang lagi berada di bot kedua.

Dua bot pancung yang digunakan untuk menyeludup keluar petrol dirampas.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 34 hingga 62 tahun warga Filipina tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot pertama membawa sebanyak 144 tong berkapasiti 25 liter petrol berjumlah 3,600 liter dan bot kedua membawa 112 tong berkapasiti 25 liter petrol berjumlah 2,800 liter dengan jumlah keseluruhan minyak petrol sebanyak 6,400 liter.

Tangkapan dan rampas diserahkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Tindakan seterusnya, pasukan QRF menunda bot berkenaan ke jeti untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (MaritimMalaysia) Zon Maritim Semporna bersama awak-awak bot di atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, jelasnya, barang-barang yang turut dirampas adalah dua buah enjin Yamaha 115 kuasa kuda (hp), dua buah enjin Yamaha 40hp bersama dua bot.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan RM165,000 dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan semua orang kena tahan (OKT) dan barang kes diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Ucapan tahniah atas kejayaan operasi ini kepada anggota dari Pusat Operasi
Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan pasukan QRF yang sentiasa peka dalam
keadaan siap siaga melaksanakan tugas Op Pasir dan Op Benteng Bersama di Perairan Pantai Timur Sabah bagi memastikan keselamatan persempadanan negara selamat.

“ATB 2 akan terus memastikan kawasan tanggungjawab di Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara dengan terus memperkasakan pendekatan ‘Precision
Information, Precision Targetting and Precision Manouver’ dalam semua aturgerak operasi yang dilaksanakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|