Tuwanku Balanggung imbau operasi tumpaskan ahli kumpulan pemberontakan Brunei di Sipitang

Tuwanku Balanggung imbau operasi tumpaskan ahli kumpulan pemberontakan Brunei di Sipitang

Kota Kinabalu: Walaupun sudah berusia 90 tahun namun ingatan seorang pesara polis bantuan masih jelas terutamanya membabitkan peristiwa pemberontakan yang berlaku di negeri ini kira-kira lima dekad yang lalu.

Datuk Seri Tuwanku Balanggung yang bertugas sebagai polis bantuan antara 1960 hingga 1967 berkata, peristiwa itu membabitkan pemberontakan Brunei di bawah pimpinan A M Azahari pada 1962 dan beliau secara langsung terlibat menangkap mereka yang menyertai kumpulan pemberontak itu.

Katanya, pada Disember 1962 beliau yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Sipitang mengendalikan bilik operasi bersama pasukan lain telah berjaya menahan beberapa ahli kumpulan pemberontak terbabit.

“Mereka yang berpangkat sarjan dan ke bawah hanya ditahan di Sipitang saja tetapi ada satu lagi kumpulan yang bersembunyi di hutan di Ulu Sipitang tidak mahu keluar untuk menyerah diri.

“Jadi kami datang (ke hutan) bersama Pasukan Polis Hutan yang diketuai oleh seorang komander dan tentera British. Kami hantar perunding untuk bertemu dengan mereka sama ada mahu menyerah atau tembak tetapi akhirnya mereka menyerah diri dan semua berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 115 penerima yang disampaikan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Bercerita lanjut, Tuwanku berkata, pada mulanya dia menyertai pasukan polis ketika bekerja di Labuan Town Board pada 1960 sebelum dihantar ke Tawau pada Mei 1962 dan pada Disember tahun yang sama ke Sipitang.

“Di Tawau, saya terlibat dalam rondaan di sempadan Indonesia dan Sabah di Celebes Sea (Laut Sulawesi), sempadan Filipina dan Sabah. Ketika itu kami guna kapal kecil sahaja tetapi ada satu lagi kapal perang besar milik British Aircraft Carrier dan kami dibawa menaiki kapal berkenaan untuk meronda,” katanya.

Mengingat kembali penglibatannya dalam pasukan polis, Tuwanku berkata beliau tertarik menyertai pasukan polis bantuan ketika berusia 28 tahun ketika bekerja di Labuan apabila melihat beberapa anggota polis berlatih dalam perbarisan setiap petang selepas habis waktu beliau bekerja.

Katanya ketika itu terdetik dihatinya bahawa pekerjaan sebagai anggota polis amat bermakna dan beliau terus menyertai pasukan polis bantuan sebelum dihantar ke Tawau, Sipitang dan Beaufort, seterusnya kembali ke Kota Kinabalu sebagai ‘state protocol officer’.

Katanya lagi, dalam usia yang telah lanjut, Tuwanku amat bersyukur kerana beliau merupakan antara penerima pingat pada majlis itu dan jasanya masih diingati, namun pada masa sama beliau sebak mengingatkan rakan-rakannya yang telah pergi selama-lamanya.

“Pengalaman di Tawau dan Sipitang adalah pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan dan apabila Pembentukan Malaysia pada 1963, perasaan itu lebih kuat untuk mempertahankan tanah air kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|