Kota Kinabalu: Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegur sikap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman yang dilihat sengaja mencari publisiti murahan dengan memuat naik aksinya sendiri menurap jalan di kawasan Sepanggar, di media sosial.
Beliau berkata, sebagai seorang yang bergelar wakil rakyat, banyak pendekatan berfaedah lain boleh dilakukan berbanding aksi-aksi sedemikian.
“Saya nasihatkan sahabat saya YB Sepanggar (Azis), sudah- sudahlah buat kerja hanya semata mata untuk mencari publisiti atau sokongan dari rakyat Sepanggar kerana PRU-15 sudah dekat…cari lah isu-isu lain yg boleh menambat hati rakyat.
“Muktahir ini, saya amati ada beberapa YB (wakil rakyat) pembangkang mencari publisiti murahan hanya kerana PRU- 15.
“Menaiktaraf dan memperbaiki jalan raya sama ada jalan negeri, jalan persekutuan, jalan Majlis (Perbandaran atau Daerah) dan lain-lain itu ada lah tanggungjawab kerajaan dan agensi yg dipertanggungjawabkan, “katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini berhubung tindakan Azis yang memuatnaik aksinya di akaun Facebooknya menurap jalan rosak di sebuah lokasi di Sepanggar, dekat sini.
Azis ketika dipetik dalam Facebook milik beliau mendedahkan antara alasan berbuat demikian kerana kecewa kerajaan lewat mengatasi masalah jalan berlubang di kawasannya.
Sementara itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah, pihaknya turut mempersoalkan kenapa baru sekarang (Azis) bertindak sebegitu dan bukannya sejak memegang tampuk kuasa pada era pemerintahan Warisan/PH di Sabah dahulu.
“Soalan saya mudah sahaja, mengapa saudara YB Azis Jamman tidak melakukan kerja-kerja yang sama selama ini, kenapa menunggu sehingga ke hari ini?
“Semasa pemerintahan Warisan dulu banyak juga jalan yang rosak, kenapa YB ini tidak turun padang memperbaiki jalan?
“Rakyat Sepanggar sudah faham, sudah tahu, wakil rakyat mana yang mereka perlukan.
“Rakyat sekarang sudah tidak boleh diperkotak-katikkan, mereka sudah bijak menilai prestasi wakil rakyat mereka,”katanya lagi.
Mengulas lanjut, Bung Moktar pada masa sama berkata, KKR Sabah sentiasa komited dalam menangani isu kerosakan jalan yang akan diatasi dari semasa ke semasa.
“Benar, banyak rungutan berhubung isu jalan rosak ini dan kita sentiasa peka kerana memang di sudut kerajaan, permasalahan ini kita sentiasa cuba selesaikan segera.
“Kakitangan, petugas dan jabatan berkaitan amat maklum perkara ini dan saya harap, semua perlu memberi ruang untuk KKR melaksakan tanggungjawab berkenaan, bukannya persepsi negatif yang sentiasa dimainkan segelintir pihak, “katanya.
-Deasoka