Polis rampas 27 kilogram ganja, 4 individu termasuk 3 beradik ditahan

Polis rampas 27 kilogram ganja, 4 individu termasuk 3 beradik ditahan

Tawau: Polis menahan empat individu termasuk tiga beradik dan merampas 27 kilogram dadah jenis ganja dalam serbuan di Batu 10 Jalan Apas, di sini, Isnin lalu.

Rampasan dan tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan yang dijalankan di lokasi berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan semua suspek terbabit.

Katanya, ketika serbuan terdapat empat individu iaitu dua lelaki dan wanita berusia 20 hingga 43 tahun berada di lokasi serbuan.

“Dua lelaki terbabit dikesan sedang leka memunggah tiga kotak dari sebuah kereta yang terletak di kawasan parkir berhampiran sebuah bangunan di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tiga daripada suspek adalah adik beradik manakala seorang lagi suspek lelaki warga tempatan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan menemui 29 bungkusan yang berisi 27,315.60 gram dadah jenis ganja.

Katanya, ganja yang dianggarkan bernilai RM90,000 itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan cuba dipasarkan di sekitar kawasan Pantai Timur Sabah dan sempadan negara.

“Rampasan dadah ini adalah yang terbesar dilakukan oleh IPD Tawau bagi tahun ini. Polis berjaya membanteras satu lagi sindiket pengedaran dadah di daerah ini.

“Siasatan awal juga mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mereka negatif,” katanya.

Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|