Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

Tawau: Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki berhampiran sebuah pusat hiburan di Fajar, di sini, Selasa lalu.

Lelaki terbabit iaitu Mohamad Johari, Mohammad Zulkifli Rahman dan Mazlee Asan manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.

Jasmin (empat dari kanan) menunjukkan gambar salah seorang individu yang dikesan bagi membantu siasatan membabitkan satu kes bunuh berhampiran sebuah pusat hiburan di Fajar, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, empat lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang dicari itu dipercayai turut terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, setakat ini, polis sudah menahan empat suspek manakala empat lagi masih sedang giat dikesan polis.

“Polis kini giat mengesan empat lagi lelaki bagi membantu siasatan kes ini.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai empat suspek yang dikehendaki itu supaya segera melaporkan di balai polis berhampiran,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kes berkenaan, Jasmin berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi, dan motif kes adalah disebabkan perselisihan faham antara kumpulan suspek dengan mangsa.

“Mangsa maut di lokasi kejadian akibat ditikam dibahagian dada sebelah kiri selain terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 pagi, Selasa lalu, seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di kawasan Fajar.

Mangsa berusia 27 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian dada.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|