Perpaduan kaum, kesepaduan sosial kunci utama kemakmuran, keharmonian negara

Perpaduan kaum, kesepaduan sosial kunci utama kemakmuran, keharmonian negara

Kota Kinabalu: Perpaduan kaum, kesepaduan sosial dan integrasi nasional menjadi kunci utama untuk membina keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tiga elemen itu penting sebagai kekuatan menghadapi cabaran mendatang dan memastikan negara kekal aman serta makmur.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab bagi memastikan kelestarian keharmonian dan kemakmuran ini bertahan dalam satu ikatan perpaduan yang utuh, selari dengan tema Hari Malaysia tahun ini Keluarga Malaysia,Teguh Bersama,” katanya dalam perutusannya sempana Sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka, di sini, esok.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah 2022 berkata, rakyat Malaysia yang bersatu hati dan tahu peranan masing-masing mampu membendung perbuatan segelintir golongan bersikap ekstremis yang menabur fahaman perpecahan dan menyemarak api perkauman serta mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.

Sehubungan itu katanya penyatuan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama ‘ perlu dihayati dan difahami bagi membawa kemajuan bersama, antaranya pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, komunikasi dan kemudahan asas, meskipun masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki.

“Tanggal 16 September, Hari Malaysia tidak kurang pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik, kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia,” katanya.

Justeru, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia, amat perlu disemai terutamanya di kalangan generasi muda supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak yang akhirnya melemahkan sistem persekutuan, selain menghancurkan kedaulatan negara pada jangka masa panjang.

Menurut Bung Moktar, generasi muda sebagai pewaris dan kelompok terbesar mengisi ruang populasi kependudukan negara yang mana peranan mereka amat diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan negara pada masa hadapan.

Sehubungan, itu Bung Moktar berkata anjakan paradigma, memiliki semangat patriotisme yang tinggi, akhlak yang baik serta kepentingan ketinggian falsafah ilmu hendaklah disemai dalam minda golongan muda bagi membolehkan usaha meneruskan agenda pembangunan negara.

“Golongan muda wajar memenuhi masa dengan belajar dan mencari sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk persediaan menempuh dunia yang lebih mencabar.

“Apatah lagi dunia hari ini bukan sahaja mempertaruhkan keperkasaan semata-mata, bahkan apa yang lebih penting ketajaman fikiran untuk menentukkan untung nasib seseorang,” katanya.

Dalam pada itu Bung Moktar turut mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia dan mengajak rakyat khususnya di Sabah menzahirkan kesyukuran kerana perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Pelbagai acara diatur bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah kali ini antaranya upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah, persembahan khas ‘Kelurga Malaysia Teguh Bersama’ oleh artis artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, pesembahan hiburan artis-artis tempatan, dan upacara memotong kek Hari Malaysia 2022.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijadualkan hadir ke majlis itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|