Menyusuri Sungai Padas bersama Jalur Gemilang, bendera Sabah

Menyusuri Sungai Padas bersama Jalur Gemilang, bendera Sabah

Beaufort: Demi semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Malaysia, sekumpulan anak muda dari Kampung Suasa, di sini, mengambil inisiatif menyusuri Sungai Padas sejauh 30 kilometer sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri dalam program Konvoi Berperahu Hari Malaysia, baru-baru ini.

Program yang bermula seawal jam 7 pagi itu disertai oleh penduduk kampung yang terdiri daripada golongan muda dan belia dengan menyusuri Sungai Padas dari Kampung Suasa hingga ke Pekan Beaufort.

Peserta berperahu menyusuri Sungai Padas, Beaufort, bersama Jalur Gemilang dan bendera negeri dalam Konvoi Berperahu Hari Malaysia.

Pengerusi penganjur, Saepulrijan Ruslan berkata, program itu diadakan sempena sambutan Hari Malaysia yang disambut esok.

“Ini adalah salah satu pengisian sempena sambutan Hari Malaysia di kampung kami. Ia bukan hanya semata-mata untuk memeriahkan sambutan itu tetapi mempunyai maknanya tersendiri.

“Tujuan program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terhadap penubuhan Malaysia yang ditunjangi dengan penyatuan 13 negeri dalam kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bercerita lanjut mengenai program itu, katanya ia kali pertama diadakan dengan penyertaan ramai daripada golongan belia di kampung itu.

“Sebelum ini kami hanya anjurkan pertandingan lumba perahu tetapi kali ini sempena Hari Malaysia, kami mengambil inisiatif membawa Jalur Gemilang dan negeri menyusuri Sungai Padas.

“Walaupun terpaksa meredah hujan ketika tiba di Kampung Gadong, tetapi kami teruskan juga perjalanan sehingga ke Pekan Beaufort,” katanya.

Saepulrijan berkata, program yang dianjurkan itu mendapat sambutan oleh penduduk setempat selain menerima penyertaan daripada penduduk kampung lain.

“InsyaAllah, pada masa akan datang kami akan buka penyertaan kepada seluruh warga Beaufort di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|