28 wanita tamatkan kursus pembuatan mi di Beaufort

28 wanita tamatkan kursus pembuatan mi di Beaufort

Beaufort: Seramai 28 peserta terdiri daripada wanita dari sekitar daerah ini dan daerah kecil Membakut berjaya menamatkan kursus asas kemahiran pembuatan mi, baru-baru ini.

Semua peserta yang hadir adalah di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, DUN Klias dan DUN Membakut.

Ruslan menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang peserta kursus asas kemahiran pembuatan mi di Beaufort.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, kursus itu bertujuan memberi bimbingan kepada wanita dari kawasan luar bandar bagi meningkatkan pembuatan mi jenis kering atau basah.

“Kursus ini juga adalah untuk memberi dorongan kepada peserta mengusahakan pembuatan mi secara komersial.

“Ini juga sebagai salah satu usaha meningkatkan kemahiran wanita dengan mengusahakan pembuatan mi sekali gus menambah pendapatan keluarga,” katanya selepas merasmikan kursus itu di sini, semalam.

Kursus selama tiga hari itu diadakan di Kilang Mee Aniq di Kampung Lumat, dekat sini.

Sementara itu, peserta kursus, Zarina Jaimol menyatakan perasaan gembiranya kerana dapat menyertai kursus pembuatan mi yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah itu.

“Kami diajar cara untuk membuat mi secara tradisional dan moden. Kami sangat berterima kasih kerana mendapat ilmu yang baharu dalam kemahiran pembuatan mi.

“Malah dalam kursus ini saya mendapat manfaat bagi memajukan diri dan saya akan terus berlatih bagi pembuatan mi ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|