Beri penekanan pencapaian pelajar sebagai aset masa depan negara – Salleh

Beri penekanan pencapaian pelajar sebagai aset masa depan negara – Salleh

Kota Belud: Golongan pelajar merupakan aset dan modal insan negara pada masa akan datang, justeru pencapaian mereka perlu diberi perhatian sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ia bagaimanapun sukar untuk dilaksanakan sekiranya budaya dan sikap mereka tidak dibentuk serta diperkasa melalui penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Menurut beliau, proses pembangunan modal insan ini dapat dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang tidak hanya terikat kepada pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Sudah tentu, kemahiran tertentu murid-murid ini diperolehi daripada aktiviti luar bilik darjah.

“Murid-murid kita bukan sahaja meningkatkan tahap kemahiran mereka dalam kegiatan korikulum, malah turut diberikan pengiktirafan serta penghargaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pencapaian Pembangunan Murid (MAPPeM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud di Dewan Harmoni SK Pekan, hari ini.

Dalam pada itu, Salleh berkata, penganjuran majlis anugerah kecemerlangan yang mengiktiraf kegiatan luar bilik darjah itu mampu memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada pihak yang terlibat.

Justeru, beliau berharap agar ia akan diteruskan lagi pada tahun-tahun seterusnya.

“Dengan adanya anugerah seperti ini, ia akan menyuntik lagi semangat, mencetus inspirasi, dan menjadi suri teladan terbaik kepada semua murid murid, warga pendidik, seterusnya kepada masyarakat khususnya di daerah Kota Belud ini,” katanya.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Fadzli Abdul Rozan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|