Isu kereta sewa: DBKK akan bincang semula mekanisme pengurusan operasi di KK Sentral

Isu kereta sewa: DBKK akan bincang semula mekanisme pengurusan operasi di KK Sentral

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha kereta sewa (atap kuning) susulan maklum balas mereka yang kurang bersetuju dengan pemindahan operasi dari Jalan Padang ke bangunan KK Sentral, di sini.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, pertemuan semula itu untuk membincangkan usaha menambah baik mekanisme sistem pengurusan yang boleh diterima pakai semua pihak.

Katanya, pemindahan ke bangunan KK Sentral diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kota Kinabalu yang diadakan pada 3 Jun lalu.

“Mesyuarat bersetuju atas syor Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah untuk memindahkan operasi kereta sewa (atap kuning) di Jalan Padang ke bangunan KK Sentral.

“Ia bagi menyediakan sistem pengurusan pengusaha dan penumpang kereta sewa yang lebih teratur dan terancang di bandar raya Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Junainah berkata, keputusan itu juga mengambil kira keadaan sedia ada kawasan parkir di Jalan Padang yang panas dan kurang kemudahan.

Katanya, berbanding bangunan KK Sentral, ia menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih baik serta selesa untuk pengusaha dan penumpang.

Sementara itu, Junainah berkata, sebelum ini, LPKP Sabah dan DBKK sudah mengadakan sesi libat urus bersama pihak pengusaha serta program simulasi di bangunan KK Sentral pada 7 Julai lalu.

“Pertemuan susulan juga diadakan di antara DBKK Holdings Sdn Bhd dan Pengerusi-Pengerusi Persatuan Kereta Sewa pada 16 Ogos lalu.

“Sungguhpun begitu, kini terdapat beberapa pihak pengusaha yang kurang bersetuju dengan mekanisme sedia ada,” katanya.

Junainah berkata, DBKK menekan bahawa usaha yang dilakukan itu bertujuan untuk memastikan keteraturan dalam bandar raya Kota Kinabalu.

Selain itu katanya, ia juga bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang lebih terjamin.

“Pihak DBKK juga menyokong usaha LPKP untuk memperkasakan pengangkutan awam dalam bandar raya Kota Kinabalu bagi melancarkan perjalanan penumpang dan memastikan kesinambungan ekonomi pengusaha,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|