UPKO gesa tindakan tegas tangani isu tuntutan Filipina

UPKO gesa tindakan tegas tangani isu tuntutan Filipina

Penampang: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyeru rakyat Sabah untuk bersatu menentang tindakan terbaharu seorang senator Filipina berhubung tuntutan ke atas Sabah.

Bakal Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, senator terbabit sekali lagi membuat kenyataan yang menggesa kerajaannya untuk menuntut semula Sabah.

Bahkan, katanya, senator itu mewajarkan kenyataannya berhubung perkara itu dengan kehadiran 750,000 orang Filipina tanpa dokumen di negeri ini.

“Bagi saya, ini bukan sahaja akan merenggangkan hubungan diplomatik, tetapi juga kemungkinan berlaku perang.

“Justeru, saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk bersatu menentang senator dan niat mereka, Sabah milik kita dan kita harus menjaganya tanpa rasa takut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menuntut agar Kerajaan Persekutuan memberi respon tegas kepada kerajaan Filipina serta mengambil tindakan terhadap warga Filipina tanpa dokumen di negeri ini.

“Kehadiran mereka kemungkinan lebih daripada 750,000 orang dan tentunya ia menimbulkan ancaman risiko keselamatan kepada rakyat Sabah.

“Ia pernah berlaku sebelum ini dan ia boleh berlaku lagi. Masanya telah tiba untuk Kerajaan Persekutuan menjalankan peranan politik dalam menyelesaikan isu ini.

“Ini merupakan isu yang sudah lama berlaku kerana Kerajaan Persekutuan gagal mencari penyelesaian sebenar. Berapa lama lagi kita perlu menunggu penyelesaian sebenar? Adakah Kerajaan Persekutuan menyerahkan Sabah?” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru Kerajaan Negeri menekan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu warga Filipina tanpa dokumen dan pendatang tanpa izin di Sabah.

“Kerajaan negeri tidak boleh menolak usul agar ia dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada tindakan yang diambil untuk menangani isu ini.

“Malah di Kota Kinabalu, kanak-kanak tanpa negara dilihat menganggu trafik dengan meminta duit kepada pengguna jalan raya. Perkara ini membuat rakyat merasa tidak selesa,” katanya lagi.

Terdahulu, Senator Filipina, Francis Tolentino dalam satu sesi temu bual bersama berita ABS-CBN meminta Jabatan Luar Negeri negaranya untuk merebut peluang menuntut Sabah susulan penganugerahan arbitrasi kepada waris Kesultanan Sulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|