Polis siasat kes ceroboh sekolah

Polis siasat kes ceroboh sekolah

Kota Kinabalu: Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki menceroboh masuk sebuah sekolah rendah di Inanam, disini, dalam dua kejadian berasingan pada Isnin dan Selasa lalu.

Mengikut laporan, lelaki yang tidak dikenali itu dikatakan masuk ke tandas sekolah berkenaan sebelum menawarkan gula-gula kepada seorang murid perempuan.

Bagaimanapun, murid tahun empat terbabit yang curiga dengan kehadiran lelaki itu dikatakan enggan menerima gula-gula berkenaan.

Manakala pada keesokkan harinya, lelaki terbabit sekali lagi dilihat berada di tangga surau dan kejadian disedari seorang murid lelaki yang hendak ke tandas.

Lelaki terbabit kemudiannya dikatakan terus melarikan diri ke belakang kawasan tandas lelaki sekolah berkenaan.

Bimbang dengan insiden mencurigakan itu, pihak sekolah difahamkan terus membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan daripada pihak sekolah di Balai Polis Inanam.

Susulan itu katanya, pihak polis hadir ke sekolah berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan

“Setakat ini, suspek masih belum dikenalpasti dan pasukan polis dari Balai Polis Inanam dan unit kereta peronda (MPV) turut diarahkan untuk meningkatkan rondaan di kawasan sekitar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|