UPKO cadang wujudkan DUN Long Pasia

UPKO cadang wujudkan DUN Long Pasia

Sipitang: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) mencadangkan perlunya persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan mengemukakan kawasan baharu Parlimen dan DUN di Sabah.

Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, ini termasuk cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah kawasan DUN baharu bagi Parlimen Sipitang yang dinamakan sebagai DUN Long Pasia.

Katanya, ia antara usaha bagi memperjuangkan aspirasi masyarakat setempat termasuk bagi suku kaum Lundayeh supaya mempunyai satu kawasan DUN sendiri.

“Saya telah melihat dokumentasi dan syor parti UPKO kepada SPR sebelum ini dan antara yang dicadangkan oleh parti ialah sebuah kawasan DUN baharu di Parlimen Sipitang yang dinamakan DUN Long Pasia.

“Cadangan ini mengambil kira aspirasi masyarakat Lundayeh dan ahli-ahli parti di kawasan ini selama ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Sipitang di Pusat Kebudayaan Lundayeh, di sini, semalam.

Ewon berkata lagi, tidak mustahil DUN baharu di bawah Parlimen Sipitang boleh diwujudkan kerana beberapa DUN sebelum ini telah pun diwujudkan dan dilihat memenuhi aspirasi pelbagai masyarakat di negeri ini.

“Saya berpendapat jika DUN Pintasan boleh diwujudkan untuk memenuhi aspirasi masyarakat Iranun, DUN Bengkoka diwujudkan untuk memenuhi aspirasi masyarakat Rungus, maka saya tidak nampak sebab kenapa DUN Long Pasia atau apa juga namanya diwujudkan untuk memenuhi aspirasi masyarakat Lundayeh.

“Selagi saya berada dalam kepimpinan UPKO, maka parti ini akan memperjuangkan aspirasi ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibuat oleh SPR setiap 10 tahun dan persempadanan terakhir yang dibuat melibatkan pertambahan 13 kerusi baharu di Sabah yang mula dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020.

Ewon sebelum itu berkata, UPKO Sipitang berpotensi untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang.

“UPKO Sipitang belum berpeluang bertanding dalam pilihan raya sebelum ini kerana penyertaan kita dalam gabungan parti.

“Tetapi saya boleh melihat potensi besar parti ini mengambil bahagian dan peranan besar dalam pilihan raya akan datang.

“Kita pertahankan parti ini dan terus perjuangkan aspirasi masyarakat Lundayeh untuk memiliki kerusi DUN majoriti suku bangsa ini di sini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|