Sebak pertama kali dipanggil abang oleh adik kandung

Sebak pertama kali dipanggil abang oleh adik kandung

Kota Kinabalu: Sebak dan gembira pertama kali bercakap melalui telefon dengan adik-beradik yang tidak pernah bersua muka sejak lahir.

Perasaan itu dikongsi Athi Narayan, 39, yang mencari keluarga asal di Sabah apabila dihubungi adik-beradik kandung selepas kira-kira 15 minit berita mengenainya disiarkan Deasoka.com, semalam.

Athi Narayan, 39

Lebih sebak, apabila adik-beradik yang tidak pernah dikenali menghubunginya melalui telefon dan memperkenalkan diri sebagai saudara kandung.

Athi yang diambil sebagai anak angkat sejak bayi oleh sebuah keluarga yang kini menetap di Selangor tidak menyangka pencariannya dengan hanya menggunakan gambar lama ibu dan bapa kandung berhasil.

“Selepas kira-kira 10 minit berita itu disiarkan Deasoka.com, ada yang menghubungi saya mengatakan mengenali keluarga kandung yang saya cari.

“Kira-kira lima minit selepas itu pula, saya menerima satu lagi panggilan, kali ini daripada seseorang yang memanggil saya abang.

“Ketika itu perasaan sebak memang sukar digambarkan, dia memperkenalkan diri sebagai adik kandung saya yang bongsu.

“Dia mengaku pernah dimaklumkan oleh ibu kandung saya bahawa dia dan enam lagi adik serta dua kakak dan seorang abang mempunyai seorang lagi saudara kandung iaitu saya.

“Saya sebak dan menangis hingga orang di sekeliling saya hairan kerana ketika menerima panggilan itu saya berada di luar,” katanya ketika dihubungi Deasoka.com, hari ini.

Katanya, ketika dijadikan anak angkat, dia adalah anak bongsu daripada empat beradik sebelum dimaklumkan oleh saudara kandungnya semalam yang mereka mempunyai 11 adik-beradik keseluruhannya.

Semalam, Deasoka.com menyiarkan berita mengenai Athi yang memohon orang ramai supaya membantu mencari ahli keluarga kandungnya yang dikatakan berasal dari Penampang.

Athi berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan daripada ibu angkatnya sejak lima tahun lalu yang memberitahunya nama kedua ibu bapa kandungnya ialah Malah Adjet dan Jomda Ensun.

Pakar bidang teknologi maklumat (IT) yang mengusahakan perniagaan sendiri itu berkata, selepas itu, dia turut dihubungi adik kandungnya yang kedua (anak keenam) yang berada di Sepanggar.

“Kami kemudian membuat panggilan video beramai-ramai melalui Whatsapp. Kami semua menangis dan sebak dapat berkenalan dan berjumpa serta melihat wajah masing-masing.

“Saya pertama kali melihat wajah adik-beradik kandung saya, manakala mereka juga pertama kali melihat saya. Cuma saya sedih tak dapat lagi mengenali kedua ibu bapa saya,” katanya.

Athi berkata, beliau dimaklumkan oleh adik-beradik kandungnya bahawa ayah mereka sudah meninggal dunia pada 2017, manakala ibu mereka meninggal dunia pada tahun lalu.

Menceritakan kisah lalu, Athi berkata dia dimaklumkan dijadikan anak angkat sejak 1983 oleh sepasang suami isteri yang ketika itu bekerja sebagai pengurus ladang dan guru di Sabah.

Selepas kembali ke Selangor, katanya dia dibesarkan oleh keluarga angkatnya sehingga menjadi seorang yang berjaya sebelum dimaklumkan mengenai status sebenarnya sebagai anak angkat ketika berumur 35 tahun.

Katanya, dia kini merancang untuk ke Sabah pada jangka masa terdekat untuk bersua muka dengan semua adik-beradik kandungnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|