UNICEF bincang inisiatif bandar raya mesra kanak-kanak dengan kerajaan Sabah

UNICEF bincang inisiatif bandar raya mesra kanak-kanak dengan kerajaan Sabah

Kota Kinabalu: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semalam menyerahkan cadangan inisiatif Bandaraya Mesra Kanak-Kanak (CFC) kepada kerajaan negeri.

Cadangan itu bagi merealisasikan hak kanak-kanak seperti diartikulasikan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hajiji menyampaikan buku mengenai Gunung Kinabalu kepada Dr Rashed Mustafa sambil diperhatikan Safar (kanan).

Perkara itu dibincangkan pada pertemuan di antara wakil UNICEF Malaysia, Dr Rashed Mustafa Sarwar dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, semalam.

Dr Rashed menerangkan mengenai ciri-ciri CFC yang boleh dilaksanakan sama ada di sebuah bandar raya, pekan atau komuniti.

Katanya, pelaksanaannya akan mengambil kira suara, keperluan, keutamaan dan hak kanak-kanak sebagai sebahagian daripada polisi awam, program dan keputusan.

Antaranya, beliau berkata termasuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi, keganasan dan penderaan serta menikmati kehidupan yang baik dan membesar dengan sihat.

Selain itu, katanya kanak-kanak juga perlu mendapat akses kepada perkhidmatan sosial yang berkualiti, hidup dalam persekitaran yang selamat dan bersih dengan akses terhadap ruang hijau.

Pada masa sama, katanya kanak-kanak juga dapat berjumpa dengan kawan dan ada tempat bermain serta peluang seimbang dalam kehidupan tanpa mengira etnik, agama, pendapatan, jantina atau keupayaan.

Turut dibincangkan pada pertemuan itu ialah mengenai Unit Penyelidikan Komunikasi Untuk Pembangunan (C4D) sebagai susulan pertemuan di antara Pengarah C4D, Dr Latif Lai dengan Hajiji pada Disember tahun lalu.

Dr Rashed berkata, banyak program UNICEF memerlukan C4D atau Komunikasi Perubahan Tingkah Laku Sosial (SBCC).

Rombongan UNICEF yang diketuai Dr Rashed turut memberi penerangan kepada Ketua Menteri mengenai hasil kajian berkaitan Kesan Perubahan Iklim Terhadap Kanak-Kanak yang sebelum itu dibentangkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|