Rakyat Indonesia di Sabah diseru sentiasa patuh SOP

Rakyat Indonesia di Sabah diseru sentiasa patuh SOP

Kota Kinabalu: Rakyat Indonesia yang berada di negeri ini diseru supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan berkata, pematuhan SOP sangat penting bagi menangani jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Rafail (kiri) menunjukkan watikah pelantikan beliau sebagai konsulat kepada Juhar dalam kunjungan hormat di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.

Katanya, terdapat seramai 167,000 warga Indonesia yang berdaftar bekerja di Sabah.

“Virus ini tidak mengenal suku, agama, umur dan sesiapa pun mudah dijangkiti. Dengan jumlah yang banyak ini, kita harus mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan bagi menjaga diri sendiri demi kepentingan keluarga dan juga masyarakat.

Rafail (kanan) ketika kunjungan hormat terhadap Juhar (kiri) di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.

“Kami berharap pandemik dan ekonomi kembali segera pulih,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan pihak KJRI mengadakan anjuran protokol kesihatan bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi oleh warga Indonesia.

Beliau yang memulakan tugas pada 14 Februari lalu, mengambil alih tugas pemangku KJRI, Muhammad Muhsinin Dolisada.

Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah isterinya, Oryza Sativa; Konsul Bahagian Pendidikan Sosial dan Budaya, Debbi Oktarossa; Konsul Fungsi Konsuler II, Renny Meirina dan Konsul Fungsi Ekonomi I, Muhammad Muhsinin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|