Polis buru tahanan positif Covid-19 lari dari hospital

Polis buru tahanan positif Covid-19 lari dari hospital

Kinabatangan: Polis sedang memburu seorang tahanan yang disahkan positif Covid-19 selepas melarikan diri dari Hospital Kinabatangan, di sini, awal pagi tadi.

Tahanan dikenali sebagai Suhin Mursidi, 37, warga Filipina, yang sedang dikuarantin dipercayai bertindak melarikan diri kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, suspek terbabit ditahan pada Jumaat lalu atas kesalahan dadah.

Katanya, suspek ditahan di perumahan pekerja di sebuah ladang di daerah ini selepas memiliki dadah seberat 30.21 gram.

“Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke lokap.

“Bagaimanapun suspek didapati positif Covid-19 lalu dirawat dan dikuarantin di hospital sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang wad lelaki hospital berkenaan.

Katanya, ketika kejadian suspek memakai baju T-shirt warna hitam dan seluar Jeans.

“Operasi mengesan suspek terbabit sudah dilancarkan termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkan kepada IPD Kinbatangan di talian 089-561890.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|