PPM usir lima warga asing cuba masuk perairan negara

PPM usir lima warga asing cuba masuk perairan negara

Semporna: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap masuk ke perairan negara ini gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan laut utara Pulau Siamil, di sini, hari ini.

Semua warga asing membabitkan tiga lelaki dan dua wanita dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan negara kira-kira jam 10 pagi tadi, ketika rondaan di kawasan tanggungjawab yang dijalankan PPM daerah ini.

Warga asing yang diusir selepas cuba menyelinap masuk ke perairan negara di Semporna. Pix Ihsan PPM

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, bot yang dinaiki semua warga asing terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan PPM kemudian mengekori dan berjaya memintas sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah dan memasuki perairan negara ini secara salah.

“Bot berkenaan kemudiannya diusir dengan diiringi sehingga keluar dari perairan negara,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, PPM sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Semporna bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.

Katanya, PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|