Covid-19 Sabah: Lagi kluster institusi pendidikan, kali ini di Tongod

Covid-19 Sabah: Lagi kluster institusi pendidikan, kali ini di Tongod

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, hari ini, kali ini diisytiharkan di daerah Tongod membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Kuala Tongod itu dikesan selepas seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang juga kes indeks didapati positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 8 Februari lalu.

“Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 67 kes lagi menjadikan jumlah kumulatif kluster berkenaan setakat hari ini sebanyak 68 kes.

“Semua kes sudah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya, manakala kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Pertambahan satu kluster baharu itu menjadikan sebanyak 42 kluster aktif di Sabah ketika ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jumlah kes hari ini menyusut 364 kes kepada 4,406 kes berbanding 4,770 kes semalam.

Bagaimanapun, katanya jumlah kes keseluruhan masih tinggi dan beberapa daerah yang selama ini mencatat jumlah jangkitan yang rendah mula mencatat pertambahan kes harian, manakala hanya 12 daerah menunjukkan penurunan kes hari ini.

“Kota Kinabalu kekal dengan catatan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,077 kes, manakala sebanyak sembilan daerah mencatat kes tiga angka iaitu Penampang (515 kes), Papar (451 kes), Tuaran (402 kes), Tawau (211 kes), Keningau (192 kes), Beaufort (182 kes), Ranau (154 kes), Kota Belud (153 kes) dan Sandakan (151 kes).

“Sebanyak 17 daerah lain lagi mencatatkan kes dua angka,” katanya.

Katanya, jangkitan sporadik atau kes bergejala kekal tinggi dengan 62.57 peratus atau 2,757 kes daripada jumlah keseluruhan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 4,377 kes atau 99.34 peratus daripada 4,406 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala lapan kes dalam Kategori 3, diikuti 13 kes dalam Kategori 4 dan lapan kes lagi dalam Kategori 5.

Dalam pada itu, Masidi berkata setakat ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) Sabah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 30,614 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.

“Sebanyak 472 kes hari ini dikenal pasti membabitkan kanak-kanak bawah 11 tahun dengan 202 kes adalah kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin iaitu berumur di bawah lima tahun,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 22 Februari 2022
Sabah 4,406 (4,770)

Kota Kinabalu 1,077 (1,198)
Penampang 515 (596)
Papar 451 (433)
Tuaran 402 (412)
Tawau 211 (372)
Keningau 192 (143)
Beaufort 182 (127)
Ranau 154 (76)
Kota Belud 153 (192)
Sandakan 151 (118)
Kota Marudu 88 (121)
Putatan 88 (298)
Lahad Datu 85 (103)
Kuala Penyu 83 (56)
Nabawan 81 (32)
Sipitang 77 (71)
Tenom 72 (68)
Beluran 59 (36)
Tongod 53 (45)
Tambunan 52 (105)
Telupid 38 (41)
Pitas 37 (22)
Kunak 31 (36)
Kudat 31 (28)
Semporna 18 (15)
Kinabatangan 15 (14)
Kalabakan 10 (12)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 21 Februari 2022

Kluster Baharu
Kluster Kuala Tongod,
Tongod, 68 (+52)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|