Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah teliti isu tenaga buruh dalam industri perkayuan

Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah teliti isu tenaga buruh dalam industri perkayuan

Tawau: Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah akan meneliti isu berkaitan tenaga buruh dalam industri perkayuan di negeri ini.

Dalam masa yang sama, Menterinya, Datuk Dr Joachim Gunsalam turut meminta Jabatan Perhutanan Sabah memberi sokongan kepada keperluan bahan mentah dalam industri terbabit.

Katanya, hasil lawatannya ke kilang perusahaan perkayuan Integrated Wood Processing Sdn Bhd (IWP) di sini, pelbagai perkara dibincangkan dengan pihak pemain industri.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai isu buruh dan bahan mentah (raw material-natural timber and industrial timber plantation).

“Selain itu, produktiviti kilang yang beroperasi dengan hanya 50 peratus kapasiti berikutan kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah,” katanya selepas menerima taklimat daripada Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran syarikat, Kong Hon Ping, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Dr Joachim berkata, pihak kementerian akan meneliti isu yang berkaitan termasuk tenaga buruh dalam industri itu.

Terdahulu, Joachim turut merasmikan program penanaman pokok yang dianjurkan oleh Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA).

“Ini adalah sebagai menyokong usaha kerajaan dalam program penanaman pokok selain meningkatkan kesedaran kepada pemain industri kayu-kayan mengenai kepentingan menanam semula pokok,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian, Thomas Logijin; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan; Presiden STIA, PJ Tan; Ketua Pegawai Eksekutif IWP, Simon Law; dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawala yang juga ahli STIA, Rahman Khan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|