Lebih 300,000 penduduk di Sabah berisiko hilang status lengkap vaksin Covid-19 menjelang 1 Mac

Lebih 300,000 penduduk di Sabah berisiko hilang status lengkap vaksin Covid-19 menjelang 1 Mac

Kota Kinabalu: Lebih 300,000 penduduk dewasa di Sabah berisiko kehilangan status lengkap vaksinasi Covid-19 jika tidak mengambil suntikan dos penggalak menjelang 1 Mac ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata paling terjejas ialah golongan dewasa yang menerima suntikan pertama dan kedua vaksin jenis Sinovac.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penerima vaksin Sinovac supaya mendapatkan dos penggalak segera bagi mengelak kehilangan status lengkap vaksinsi Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera mereka.

“Sekiranya individu dewasa yang sudah lengkap dua dos vaksin jenis Sinovac tidak melengkapkan dos penggalak maka status mereka sebagai penerima dos lengkap vaksin tidak akan kekal selepas 1 Mac,” katanya, di sini, hari ini.

Selain penerima vaksin golongan dewasa, Shahelmey berkata golongan warga emas yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak turut berdepan situasi yang sama.

Katanya, bagi warga emas, sama ada yang menerima vaksin jenis Sinovac, Pfizer, Astrazeneca atau Cansino, mereka perlu mendapatkan suntikan dos penggalak.

Jelasnya, setakat ini kira-kira 125,000 warga emas dan 326,000 individu dewasa di negeri ini belum mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Setakat semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan hanya kira-kira 14 peratus penerima vaksin lengkap Covid-19 di Sabah sudah mengambil suntikan dos penggalak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|