PPM gagalkan kegiatan bom ikan

PPM gagalkan kegiatan bom ikan

Lahad Datu: Operasi pemantauan secara berterusan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) sekali lagi berjaya mematahkan aktiviti bom ikan di perairan daerah ini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi bertindak mengejar sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pelbagai jenis ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bom ikan.

Bagaimanapun katanya, selepas beberapa minit dikejar, pasukan polis kemudiannya menemui perahu berkenaan ditinggalkan di pesisir pantai di laut berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan.

“Selain itu, pasukan operasi turut menemui beberapa pukat berisi pelbagai jenis ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,750 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan akan diserah ke Jabatan Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|