UMS terima dua Anugerah Khas Menteri Pengajian Tinggi

UMS terima dua Anugerah Khas Menteri Pengajian Tinggi

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan pencapaian yang cemerlang apabila meraih dua anugerah pada majlis Anugerah Khas Menteri Pengajian Tinggi: Rekabentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2022, semalam.

Anugerah pertama diperoleh menerusi Timbalan Pengarah Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan (PKPKP) UMS, Dr Nur Thara Atikah Zainal dengan inovasi pengajaran bertajuk PEERS: The Digital Siswapreneurship Learning Process.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dinobatkan sebagai Johan bagi peserta individu kategori Pengajaran Transformatif sekali gus membawa pulang hadiah wang bernilai RM10,000.

Pencapaian membanggakan itu terus disemarakkan dengan satu lagi kemenangan yang diperoleh melalui penyertaan berkumpulan diketuai Prof Madya Ts Dr Kamaruddin Abd Hamid dari Fakulti Kejuruteraan UMS.

Menerusi tajuk Blended-Cooperative Learning Environment for Immersive Learning Experiences in Process Simulation Course, kumpulan yang turut dianggotai Prof Madya Dr Sivakumar Kumaresan dan Dr Mariani Rajin muncul Naib Johan dalam kategori Pembelajaran Imersif (Teradun) untuk menerima hadiah wang bernilai RM5,000.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS, Dr Denis Andrew D Lajium.

AKRI diperkenalkan sejak 2017 bagi mengiktiraf inisiatif pengajaran dan pembelajaran yang inovatif di peringkat institusi pengajian tinggi dan peserta individu.

Pada tahun ini, sebanyak 220 penyertaan telah diterima merangkumi empat kategori yang dipertandingkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|