Kaji semula sukatan mata pelajaran sejarah – Masiung

Kaji semula sukatan mata pelajaran sejarah – Masiung

Tongod: Sukatan mata pelajaran Sejarah melibatkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam buku teks sekolah rendah dan menengah wajar dikaji semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, isi kandungan dalam buku sejarah itu kurang tepat dan bersifat berat sebelah kepada rakyat di dua wilayah Borneo ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggubal semula buku teks yang diguna pakai dalam kurikulum mata pelajaran Sejarah di institusi pendidikan di semua peringkat.

“Kepincangan fakta dalam buku teks sejarah yang digunakan dalam mata pelajaran di sekolah hendaklah diperbetulkan supaya mesej sebenar dapat disampaikan kepada generasi pelajar.

“Apa yang kita nampak dalam buku-buku teks sekolah, fakta sebenar kemerdekaan Sabah dan Sarawak melalui Malaysia telah disembunyikan dan lebih banyak menonjolkan sejarah Tanah Melayu atau Malaya,” katanya.

Beliau turut menyuarakan perkara itu ketika merasmikan Sambutan Kemerdekaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sagoun sebelum meraikan Malam Merdeka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penangah di Tongod pada Rabu lalu.

Menurut Masiung, tarikh 16 September 1963 adalah detik bersejarah sebenarnya menyaksikan penyatuan bersama Sabah dan Sarawak membentuk negara baharu bernama Malaysia.

Menurutnya, ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, ia cuma memperingati Kemerdekaan Tanah Melayu (Semenanjung) pada tanggal 31 Ogos 1957.

“Tetapi sebenarnya tarikh itu tidak terpakai untuk kemerdekaan Sabah dan Sarawak.

“Hanya setelah enam tahun kemudian iaitu 16 September 1963 barulah wujudnya penyatuan bersama Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk negara baharu diberi nama ‘Persekutuan Malaysia’,” katanya.

Katanya lagi, rentetan daripada peristiwa pembentukan Persekutuan Malaysia maka, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut termeterai iaitu 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara Sarawak.

“Ada dua peristiwa mengelirukan generasi baharu yang tidak dicatatkan secara terperinci dalam buku teks mata pelajaran sejarah iaitu tarikh Kemerdekaan dan Penyatuan Malaysia,” katanya.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu akan membawa isu berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang supaya penelitian semula perlu dilaksanakan dalam kandungan buku teks Sejarah.

“Fakta sejarah tidak boleh digubal berdasar andaian semata-mata. Sejarah adalah fakta. Kepincangan fakta dalam buku teks tersebut hendaklah diperbetulkan.

“Penggubal buku teks perlu lebih berani dalam membicarakan soal fakta, biarpun kadangkala ia menyentuh sensitiviti masyarakat, ” katanya.

Jelasnya lagi, penggubal buku teks yang dijadikan kurikulum pendidikan perlu kajian lebih mendalam supaya fakta yang tertulis terhasil sejarah tepat dan benar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|