Gerai jualan musnah terbakar

Gerai jualan musnah terbakar

Penampang: Sebuah gerai jualan terbakar dalam kejadian di Cyber City, Jalan Kepayan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, gerai berkeluasan 111 meter persegi jenis separuh kekal berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan gerai jualan di Cyber City.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 pagi.

Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba dilokasi, operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke beberapa rumah yang terletak berhampiran premis gerai berkenaan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan dari sumber air daripada jentera FRT dan pili Bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gerai jualan di Cyber City, Jalan Kepayan, yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 5.41 pagi.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.32 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|