UMS, Sukaseni bekerjasama tingkatkan keusahawanan pelajar

Kota Kinabalu: Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Persatuan Sukaseni, Kuala Lumpur, bagi memberi pendedahan kepada penuntut mengenai industri seni dan kraf serta meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan.

Majlis menandatangani LoI itu disempurnakan Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Singh dan Pengerusi Sukaseni, Rafie Syazwan Arpandi dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin.

Soon (lima kanan) dan Rafie (kanan) saling bertukar dokumen LoI yang telah ditandatangani sambil disaksikan Raman (empat kanan).

Menurut Soon, LoI berkenaan adalah kesinambungan daripada hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua belah pihak melalui penglibatan bersama dalam beberapa program sebelum ini.

“Impak yang paling penting ialah LoI ini memberi peluang kepada pelajar UMS untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Pihak UMS dan rombongan Sukaseni mengambil gambar kenangan selepas majlis menandatangani LoI.

“Misalnya pelajar di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) bukan sahaja kaya dengan pelbagai produk kesenian tetapi juga berbakat.

“Kita hendak perkembangkan bakat ini dan mereka menjadi seorang usahawan dalam bidang kesenian,” katanya.

Soon berkata demikian ketika ditemui pada majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rafie memaklumkan LoI itu ditandatangani sebagai salah satu usaha Sukaseni untuk membantu belia khususnya graduan dalam mendepani krisis pekerjaan pada era pasca pandemik Covid-19.

“Seperti yang kita sedia maklum, graduan pada ketika ini amat susah mencari pekerjaan selepas seluruh dunia termasuk di negara ini berdepan dengan Covid-19 selama dua tahun.

“Justeru, inisiatif kami untuk menandatangani LoI ini mungkin sedikit sebanyak membantu usahawan pelajar ini mengetengahkan produk mereka ke luar negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|