Isu jalan rosak: Projek Pan Borneo dipercepat sebagai ganti laluan sedia ada

Isu jalan rosak: Projek Pan Borneo dipercepat sebagai ganti laluan sedia ada

Kota Kinabalu: Kerajaan mengambil langkah mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di antara Batu 32 Sandakan dengan Telupid bagi menggantikan jalan raya sedia ada yang mengalami kerosakan dalam usaha menangani ketidakselesaan pengguna.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid, berkata tiga pakej pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan berkenaan dengan jarak sepanjang 58 kilometer dijadual siap sepenuhnya pada 2025.

Ir Ali Ahmad menerangkan punca kerosakan jalan raya di Sabah dan langkah penyelesaian yang diambil.

Katanya, kontraktor projek bagi ketiga-tiga pakej itu sudah dimaklumkan untuk mempercepatkan kerja pembinaan dua daripada empat lorong bagi lebuhraya berkenaan dalam tempoh setahun setengah (18 bulan) sebelum beralih ke dua lagi lorong selebihnya.

Beliau berkata, pembaikan kerosakan jalan raya sedia ada tidak berbaloi kerana ia tidak dapat dilaksanakan dengan kaedah penyelenggaraan biasa atau tampalan memandangkan keadaan jalan yang sudah melangkaui jangka hayat.

“Jalan raya sedia ada di laluan berkenaan sudah melangkaui jangka hayat dan bagi jalan raya seperti ini proses penyelenggaraan secara tampalan kurang berkesan selain peruntukan yang ada juga terhad. Sebaliknya ia perlu dibina semula dan itu menyebabkan kos yang tinggi.

“Sebab itu kerajaan persekutuan meluluskan segera tiga pakej pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Sekarang kontraktor sudah sedia maklum untuk menyiapkan segera laluan sebelah dalam 18 bulan.

“Jalan sebelah lagi akan dibina selepas dua lorong itu siap bagi melengkapkan jalan empat lorong dua hala bagi lebuh raya itu dalam masa tiga tahun,” katanya dalam satu temubual berkaitan masalah kerosakan jalan raya di Sabah, di sini.

Berikutan itu, beliau meminta kerjasama pengguna jalan raya, khususnya di laluan antara Batu 32 Sandakan dengan Telupid supaya bersabar kerana terpaksa berdepan keadaan jalan raya yang tidak menyelesakan.

Pada masa yang sama beliau juga meminta agar pemandu sentiasa mematuhi arahan lalu lintas termasuk had laju yang ditetapkan di kawasan pembinaan bagi mengelak kemalangan atau sebarang kejadian tidak diingini.

“Had laju bagi kawasan pembinaan ialah 60 kilometer sejam untuk elak kemalangan dan masalah lain. Kita juga akan usahakan untuk menambah papan tanda dan lampu jalan.

“Jadi kita berharap pengguna boleh bersabar dalam setahun dua tahun ini sementara kita percepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerja penyelenggaraan di laluan sedia ada tetap dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan lebuh raya berkenaan menggunakan peruntukan yang ada.

Beliau turut mengingatkan pihak konsesi dan jurutera JKR daerah agar bertindak proaktif memantau keadaan jalan raya di lokasi yang kerap berlaku kerosakan bagi memastikan ia cepat dibaiki demi kepentingan pengguna.

“Bertindak segera dengan memeriksa sendiri keadaan jalan raya, jangan tunggu viral dan buat pengawasan kerja pihak konsesi. Ini tugas kakitangan kita di lapangan iaitu untuk memantau kerja konsesi bagi mempercepatkan pembayaran.

“Dana tiada isu, hanya yang di luar rutin penyelenggaraan konsesi terpaksa mendapatkan peruntukan tambahan. Apa yang penting bertindak lebih awal supaya kitalah orang pertama tahu di mana ada jalan berlubang, di mana ada pokok tumbang dan sebagainya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|