Isu jalan rosak: Kenderaan lebih muatan punca utama jalan cepat rosak – JKR

Isu jalan rosak: Kenderaan lebih muatan punca utama jalan cepat rosak – JKR

Kota Kinabalu: Aktiviti kenderaan lebih muatan yang melalui jalan raya di Sabah menjadi penyumbang kepada keadaan jalan raya yang sering mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan jangka hayat kemudahan itu menyusut dengan cepat.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid, berkata ia adalah punca utama kerosakan jalan raya di negeri ini selain kelemahan kerja penyelenggaraan disebabkan kekangan peruntukan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid

Kataya, kehadiran lori mengangkut buah kelapa sawit selain kayu balak yang melebihi muatan ditetapkan pihak berkuasa menyebabkan jalan raya mudah rosak hingga menjejaskan keselesaan pengguna lain.

“Jalan raya kita ada jangka hayatnya dan kebetulan jalan persekutuan yang terbabit dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sudah melangkaui jangka hayatnya, bukan kita tidak selenggara.

“Sebaliknya, aktiviti lebih muatan menjadi penyumbang kepada kerosakan jalan raya. Bayangkan kelapa sawit tinggi menggunung diangkut di jalan raya, begitu juga lori kayu balak,” katanya dalam satu temubual berhubung isu keroskaan jalan raya di Sabah, di sini.

Katanya, kebanyakan kenderaan berat yang membawa lebih muatan beroperasi di luar waktu pemantauan agensi penguatkuasa dengan kebiasaannya pada waktu malam.

“Mereka tahu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya beroperasi sehingga jam 6 petang, jadi mereka mengambil kesempatan keluar di luar waktu itu. Kita ada rekod gambar mengenai perkara ini, ramai yang mengirim kepada saya.

“Sehubungan itu, kita mahu kerjasama di antara semua pihak berkuasa termasuk JPJ, polis, JKR dan pengusaha sawit juga dalam menangani isu ini agar kerosakan jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan jalan raya bergantung kepada lapisan batuan, namun penggunaan kenderaan berat lebih muatan menyebabkan lapisan berkenaan mudah rosak hingga menembusi bahagian tanah.

Katanya, tiada isu penyelenggaraan jalan raya lambat dilaksanakan disebabkan kelewatan pembayaran kepada pihak konsesi yang diberi tanggungjawab memastikan jalan raya berkeadaan baik sepanjang masa.

“Isu pembayaran kepada konsesi, saya memang fokus ini, siap mesti dibayar. Selepas diperiksa oleh jurutera, laporan dihantar kepada bahagian akaun dan buat pembayaran.

“Kita juga berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan persekutuan serta Kementerian Kewangan negeri kerana prihatin dan memberi kerjasama. Apa yang kita minta diluluskan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|